URI (plasenta) adalah organ utama dalam kehamilan. Pada awal kehamilan, janin yang baru tiba memasuki ruang rahim akan “melekat” pada permukaan dinding dalam. Kawasan perlekatan inilah merupakan lokasi uri terbabit.
Sewaktu awal kehamilan, saiz rahim masih kecil, uri boleh kelihatan berada berhampiran pintu rahim iaitu di bawah. Lama kelamaan, saiz rahim akan membesar, maka sempadan uri yang dahulunya kelihatan berhampiran dengan pintu rahim kini berada semakin jauh akibat pelebaran dinding rahim.
Pembentukan bahagian bawah (disebut ‘lower segment’) ini mula berlaku pada minggu ke-28 dan berterusan. Pada ketika ini, barulah doktor mengesahkan keadaan uri sama ada uri bawah (plasenta previa) ataupun sebaliknya.
Dalam keadaan tertentu, uri dilihat berada melitupi kawasan pintu rahim, maka kemungkinan untuk ia “naik ke atas” adalah kurang. Jarak ini boleh dijadikan panduan untuk menjangka sama ada ia akan kekal plasenta previa atau tidak lagi. Tahap plasenta previa bergantung kepada jarak dan keadaannya berkait dengan pintu rahim sama ada semasa kehamilan dan juga sewaktu pembukaan pintu rahim kelak.
Semakin hampir jaraknya dengan pintu rahim, semakin tinggilah risikonya terhadap ibu dan janin. Risiko utama adalah pendarahan. Pendarahan ini mencemaskan, ia boleh terjadi dengan tiba-tiba dan dalam kuantiti yang terlalu banyak.
Ia kebiasaannya dicetus oleh aktiviti pengecutan rahim (disebut kontraksi ‘braxton hicks’) yang bermula seawal minggu ke-28. Wanita dinasihatkan meminimumkan aktiviti dengan banyak berehat. Oleh kerana pendarahan ini sukar dijangka, wanita kebiasaannya dinasihatkan berehat di hospital supaya rawatan optimum dapat diberi secepat mungkin sejurus kecemasan ini berlaku.
Dalam hal ini juga, berkemungkinan kelahiran akan dipercepatkan (kebiasaannya melalui pembedahan caesarean). Cara kelahiran (selain daripada sebab-sebab tidak berkaitan seperti kedudukan janin dan sebagainya) bergantung kepada tahap plasenta previa terbabit dan sama ada berlaku pendarahan.
Pembedahan kebiasaannya dilakukan kira-kira dua minggu daripada tarikh jangkaan bersalin ataupun lebih cepat sekiranya berlaku pendarahan. Tahap pendarahan berbeza-beza. Tahap serius mungkin memerlukan pemberian ubat-ubatan tertentu, pendermaan darah, pembuangan rahim dan sebagainya. Patuhilah nasihat doktor anda. Sebaiknya anda mengambil pil zat besi bagi meningkatkan paras hemoglobin darah anda.
Tuesday, 3 March 2009
Ibu hamil risau posisi uri di bawah
Posted by akmappsp at 05:23
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment